Tuesday, June 21, 2011

KKBI PRA3109

1.0 PENGENALAN
Kanak-kanak berkeperluan khas adalah merupakan kanak-kanak yang berhadapan dengan kebatasan keupayaan dengan sendirinya bagi memperoleh keperluan biasa dan untuk hidup dengan masyarakat disebabkan had fizikal dan mentalnya. Kanak-kanak ini juga sememangnya mempunyai pelbagai tingkah laku yang pelbagai dan semestinya memerlukan beberapa kaedah yang berkesan bagi mengurus tingkah laku yang tidak diingini. Menurut G. Miltenberger (2001) tingkah laku adalah sesuatu yang dilakukan, cara untuk bertindak dan bagaimana tindakbalas seseorang terhadap persekitaran.
Tambahan lagi, mengikut Kirk (1993), pendidikan khas ialah kanak-kanak yang berbeza daripada kanak-kanak sederhana ataupun biasa dalam ciri-ciri menta, keupayaan deria, ciri-ciri saraf dan otot ataupun fizikal, tingkah laku social ataupun emosi, keupayaan komunikasi ataupun pelbagai kekurangan sehingga memerlukan amalan-amalan sekolah yang diubahsuai ataupun memerlukan perkhidmatan-perkhidmatan pendidikan khas, supaya ia dapat berkembang sehingga kemampuan yang maksimum.
Manakala mengikut terjemahan Culatta (1999) pula, definisi pendidikan khas ialah pengajaran yang bercorak individu, direka bagi memenuhi keperluan-keperluan pendidikan yang berkaitan dengan murid-murid kurang upaya. Pendidikan khas menyediakan peluang-peluang pembelajaran yang tidak disediakan dalam kurikulum ataupun perkhidmatan-perkhidmatan persekolahan biasa. Oleh itu, dalam tugasan kali ini, saya mengelaskan beberapa kategori kanak-kanak berkeperluan khas dan juga beberapa pemerhatian yang dilakukan ke atas kanak-kanak berkeperluan khas semasa lawatan saya bersama empat orang rakan saya ke Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 1.


2.0 Kategori kanak-kanak berkeperluan khas 
2.1. Murid bermasalah Penglihatan
Penglihatan merupakan salah satu deria yang penting kerana kanak-kanak mempelajari 80% daripada penglihatan. Oleh itu, masalah penglihatan dianggap sebagai masalah utama yang mungkin memberi kesan terhadap perkembangan kognitif kanak-kanak tersebut. Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisi masalah ini sebagai kebutaan (penglihatan kurang daripada 3/60 pada mata yang terbaik ataupun medan penglihatan kurang daripada 10O setelah menerima rawatan ataupun pembetulan biasan (refractive) dan rabun (penglihataan kurang daripada 6/18 sehingga persepsi cahaya pada mata yang terbaik). Hal demikian berpunca daripada baka dan keturunan, komlikasi semasa hamil dan lahir, rubella, syphilis, kecederaan dan penyakit. Tanda-tanda bagi masalah penglihatan ini dapat dilihat daripada tiga aspek iaitu dari segi rupa, tingkah laku dan aduan kanak-kanak yang mengalaminya. (Lihat Lampiran A). Oleh itu, guru perlu memberi keperluan pembelajaran dan latihan yang sebaiknya kepada kanak-kanak ini. (Lihat Lampiran A)

2.2. Murid bermasalah Pendengaran
Pendengaran adalah satu saluran penting bagi manusia menerima bahan-bahan ilmu. Oleh itu, kehilangan pendengaran merupakan ancaman utama bukan sahaja terhadap komunikasi, tetapi juga kepada kehidupan peribadi dan sosial individu. Menurut Herth (1998), orang yang mengalami masalah pendengaran atau pekak berasa dirinya terasing dari komuniti. Punca-punca bagi masalah pendengaran ini ialah sebelum lahir, semasa lahir dan selepas lahir. Selain itu juga, masalah ini terbahagi kepada dua tahap iaitu tahap kurang pendengaran dan tahap pekak. Tahap kurang pendengaran pula terbahagi kepada tiga iaitu ringan, sederhana dan sederhana teruk. Manakala tahap pekak pula terbahagi kepada dua iaitu teruk dan sangat teruk. Justeru itu, antara tanda-tanda yang diperhatikan ialah kanak-kanak kurang member perhatian di dalam kelas, kelihatan selalu berkhayal, butir-butir percakapan yang tidak jelas dan janggal, sering bertanya mengenai tugasan dan lain-lain lagi. (Lihat Lampiran A)

2.3. Murid bermasalah Pembelajaran
2.3.1.   Lembam atau slow learner
Lembam atau slow learner merupakan perkembangan bahasa yang lewat. Di mana mereka yang mempunyai ciri-ciri seperti komunikasi yang kurang, kurang daya tumpuan terhadap sesuatu dan lain-lain lagi. Justeru itu, bagi kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran seperti ini banyak masalah yang akan dihadapi. Misalnya, wujudnya masalah tingkah laku, daya tumpuan yang singkat dan mereka akan ketinggalan dalam pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, guru perlu memastikan masalah dapat di atasi dengan segera. Misalnya, mengambil tindakan seperti pengajaran dilakukan secara individu, mendapatkan terapi pertuturan, membina keyakinan diri mereka agar dapat menonjolkan diri dan lain-lain lagi. (Lihat Lampiran A)

2.3.2.   Sindrom Down (SD)
Down Sindrome merupakan penyakit keturunan yang disebabkan oleh kromosom tambahan pada kromosom nombor 21 yang terdapat pada kanak-kanak. Ia juga dikenali sebagai Trisomy 21. Biasanya kanak-kanak SD ini akan mengalami banyak masalah kesihatan. Misalnya, pertumbuhan yang lambat, kesukaran untuk belajar dan bertutur, berpenyakit pada jantung congenital, mudah mendapat jangkitan dan lain-lain lagi. Oleh itu, banyak program pemulihan bagi mengatasi masalah SD ini. Contohnya, program pemulihan seperti program interversi, terapi carakerja, terapi pertuturan dan sebagai dapat membantu kanak-kanak SD mencapai keupayaan dan perkembangan maksima serta mampu berdikari. (Lihat Lampiran A)

2.3.3.   Autism
Kanak-kanak autism adalah kanak-kanak yang mengalami masalah komunikasi tersekat laku. Maksud tersekat laku ialah kanak-kanak ini akan menunjukkan tingkah laku yang tidak sesuai pada peringkat umurnya malah melakukukan sesuatu perkara diluar jangkaan. Contohnya, kanak-kanak berumur 11 tahun akan menunjukkan tingkah laku kanak-kanak berumur 3 tahun. Kanak-kanak autism juga didefinisikan  sebagai individu yang tidak berkeupayaan menyesuaikan diri mereka secara normal dengan persekitaran (menurut Leo Kanner, 1943). Selain itu, kanak-kanak autism mempunyai persatuannya tersendiri. Misalnya, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM). Justeru itu, kanak-kanak autism akan terjamin masa depannya dengan adanya persatuan sebegini. (Lihat Lampiran A)

2.3.4.   Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD)
ADHD juga dikenali sebagai kanak-kanak tanpa hiperaktif dan juga kanak-kanak hiperaktif. Di mana mereka ini bersifat kurang tumpuan terhadap sesuatu benda. Lambat menyiapkan sesuatu tugasan, tidak boleh duduk diam, impulsive dan sebagainya. Banyak juga masalah yag melibatkan ADHD seperti masalah sosial dan juga masalah keluarga. Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini, guru perlu tahu apa yang mereka minat. Contohnya, dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, ia mestilah aktiviti yang menyeronokkan untuk menarik perhatian murid tersebut. (Lihat Lampiran A)

2.3.5.   Terencat Akal
Kanak-kanak terencat akal adalah kanak-kanak yang menpunyai daya pemikiran yang berkurangan dan bermasalah dalam pembelajaran. Misalnya, terencat akal teruk yang dikenali sebagai Mental Retardation. Di mana kanak- kanak yang mengalami keadaan perkembangan minda dan daya pemikiran yang kurang ataupun tidak lengkap. Biasanya, penyakit ini dilasifikasikan kepada 3 kategori iaitu; ringan (skor IQ: 50-75), sederhana (skor IQ: 30-50) dan teruk (skor IQ: 30 ke bawah). Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini dan agar murid seperti ini mendapat pengajaran dan pembelajaran yang baik, guru haruslah memainkan peranan yang penting. Misalnya, mengajar mereka komunikasi, menerapkan terapi pertuturan, menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan sebagainya.
2.3.6.   Palsi Serebrum
Palsi Serebrum (Cerebral Palsy) bermaksud kanak-kanak yang menggunakan sebahagian daripada otot di dalam badan mereka dalam keadaan normal akibat kerosakan dalam otak. Biasanya mereka bersifat seperti ketegangan pada otot, pergerakan tanpa diarah, gangguan dalam mobaliti dan sebagainya. Terdapat beberapa jenis serebrum palsi; iaitu palsi serebrum spastik, athetosis, ataxia, hemiplegia, diplexia dan quadriplegia (Lihat Lampiran A).

2.3.7.   Pintar cerdas
Terdapat pelbagai pandangan dan pendapat mengenai konsep pelajar pintar cerdas ini. Stanford Binet (1916), orang pertama menjalankan ujian pintar cerdas yang dikenali sebagai “The Stanford-Binet Test” telah memberikan definisi pintar cerdas sebagai merujuk kepada keupayaan individu memahami, membuat pertimbangan dan penaakulan dengan baik. Lewis Terman (1916), pula memberi definisi pintar cerdas sebagai seseorang yang berkebolehan untuk berfikir secara abstrak. (Lihat Lampiran A)

2.4. Disleksia
Disleksia adalah gabungan dua perkataan Greek iaitu “dys” bermaksud “kesukaran” dan “lexia” bermaksud “perkataan”. Terjemahannya membawa maksud “kesukaran dengan perkataan bertulis”. Menurut Sanders dan Myers (1996), kanak-kanak yang mengalami ciri-ciri disleksia mempunyai kesukaran-kesukaran khusus dalam bacaan, menulis dan mengeja. Kesukaran-kesukaran ini termasuklah masalah yang serupa dalam kerja nombor dan mengenali symbol-simbol, seperti not muzik atau symbol matematik. Manakala menurut Drake (1989) [dalam Madya Zhagan (1999)] masalah pembelajaran disleksia merujuk kepada beberapa ciri, iaitu:
a)    Kesukaran belajar bahasa
b)    Ketidakseimbangan dengan kebolehan intelektual
c)    Tidak lancar ketika membaca sesuatu bahan bercetak
d)    Tidak dapat menulis dengan lancar dan tepat
e)    Mata menjadi penat setelah beberapa minit menumpu pada tulisan
f)     Daya tumpuan yang terhad (pendengaran dan pengamatan tetapi tidak pekak atau buta.
Punca sebenar yang menyebabkan kanak-kanak mengalami disleksia tidak diketahui (Bradford, 2001). Namun, mengikut kajian-kajian yang telah dijalankan, secara teorinya disleksia disebabkan oleh keturunan (genetik), biologi, dan kemtangan (Mercer, 1997; Hammond & Hughes, 1999). Oleh itu, bagi mengatasi masalah disleksia ini, guru perlulah menggunakan pendekatan yang tertentu. Contohnya, Kajian menunjukkan pendekatan Multi-Sensory merupakan kaedah yang paling sesuai bagi mengajar kanak-kanak disleksia; iaitu dengan menggabungkan kesemua sensori (auditori, visual, oral dan kinestetik) kita. (Lihat Lampiran A)


3.0  LAPORAN
3.1  Perihal penubuhan pusat atau sekolah
Tanggal 8 Mac 2011, saya telah pergi ke Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 1, Kota Bharu, Kelantan. Tujuan saya pergi ke sekolah ini ialah untuk melawat dan mengenal pasti ciri-ciri kanak-kanak prasekolah berkeperluan khas. Oleh itu, berikut adalah tugasan saya yang perlu saya buat:
a)   Sejarah
b)    Tujuan
c)    Ahli Jawatankuasa(AJK)          (Lihat Lampiran B)
d)    Program yang disediakan
e)    Objektif yang dapat dicapai
 f) Kejayaan yang diperolehi                          (Lihat Transkrip Temubual)
g)    Kekangan atau masalah yang dihadapi

3.2  Pemerhatian
3.2.1     Mengenal pasti ciri-ciri kanak-kanak prasekolah berkeperluan khas
Terdapat beberapa kaedah atau teknik yang boleh digunakan oleh pemerhati bagi merekod tingkah laku murid. Antaranya adalah time-sampling, event/ frequency recording, duration recording, interval recording, senarai semak, rekod anekdot dan sekil kadar. Dalam pemerhatian ini, saya menggunakan kaedah senarai semak dan menemubual.
3.2.1.1 Senarai semak
Walaubagaimanapun pemerhatian adalah lebih bermakna apabila guru dapat mengaitkan perubahan tingkah laku kanak-kanak dengan hasil pembelajaran seperti yang ditetapkan. Oleh itu, guru boleh menyediakan satu senarai pembelajaran dan digunakan sebagai alat atau instrument semakan semasa membuat pemerhatian untuk setiap murid. Senarai hasil pembelajaran hendaklah mengambil kira domain afektif, kognitif dan psikomotor. Oleh itu, saya telah membuat senarai semak beberapa perkara mengenai ciri-ciri kanak-kanak berkeperluan khas. (Lihat Lampiran C)
3.2.1.2 Temubual
Temubual juga salah satu kaedah atau teknik bagi pengumpulan data. Temubual ini boleh direkod mahupun menulis transkrip perbualan. Oleh disebabkan saya tidak membawa perakam suara pada ketika menemubual ibu bapa murid, saya hanya mencatat isi-isi penting sahaja. Oleh hal demikian saya perlu menulis transkrip semasa menemubual itu semula. Saya telah menemubual guru prasekolah berkeperluan khas SK Kubang Kerian 1, iaitu Puan Nurul Aini bt Ismail. Berikut adalah transkrip temubual antara saya dan Puan Nurul Aini Bt Ismail:


TRANSKRIP TEMUBUAL
Pada 8 Mac 2011, saya dan rakan saya seramai empat orang, iaitu Nik Fatin Amalina binti Ismail, Ainur Nazura binti Mohd Joni dan Mohammad Izam Iznan bin Jusoh telah pergi ke Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 1,16150 Kota Bharu, Kelantan. Tujuan saya dan rakan-rakan pergi ke sekolah itu adalah untuk melawat Prasekolah Pendidikan Khas di sekolah tersebut dan membuat pemerhatian dan mengenal pasti ciri-ciri kanak-kanak pendidikan khas serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan. Justeru itu, saya telah menemubual guru prasekolah pendidikan khas sekolah tersebut bagi memudahkan untuk berurusan dan menyiap tugasan saya. Berikut ialah transkrip temubual saya bersama guru Prasekolah Pendidikan Khas SK Kubang Kerian 1, Pn. Nurul Aini binti Ismail:
Saya              : Assalamualaikum, Cikgu Aini.
Cikgu Aini     : Waalaikumussalam.
Saya               : Apa khabar Cikgu Aini
Cikgu Aini      : Sihat alhamdulillah.
Saya               : Baiklah, Cikgu Aini. Di sini saya beritahu tujuan saya dating melawat
  Prasekolah Pendidikan Khas ini ialah untuk mengumpul sebanyak
  mungkin maklumat mengenai murid-murid berkeperluan khas bagi
  memudahkan tugasan major saya. Bolehkah cikgu membantu?
Cikgu Aini     : Oh, begitu. Boleh apa salahnya.
Saya               : Terima kasih, cikgu. Pertama, saya ingin bertanya tentang penubuhan
                          Prasekolah Pendidikan Khas di sekolah ini, yakni sejarah, tujuan, objektif
                          yang dicapai dan Ahli Jawatankuasa bagi penubuhan prasekolah ini?
Cikgu Aini     : Sama-sama. Semua yang kamu minta ada di dalam buku Pengurusan
  Pra Intergrasi Prasekolah Pendidikan Khas SK Kubang Kerian 1 2011
  dan juga buku Panduan Pelaksanaan Program Pendidikan Khas
  Prasekolah. (Lihat Lampiran C)
Saya               : Baiklah, cikgu. Nanti saya melihat buku tersebut. Seterusnya, saya mahu
bertanya tentang apakah kejayaan yang diperolehi dan apakah masalah   
atau kengkangan yang dihadapi oleh cikgu selama mengajar?
Cikgu Aini     : Okey. Kejayaan yang diperolehi sepanjang mengajar ialah kami  
  mendapat Naib Juara pada peringkat Negeri Kelantan dalam setiap
  pertandingan sukaneka iaitu yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan
  Daerah (PPD) Kubang Kerian, Kelantan. Selain itu, kejayaan yang paling
  bermakna ialah di mana salah seorang murid saya, iaitu Muhibbuddin bin
  Ahmad Fadhli yang lebih dikenali sebagai Muhib. Beliau merupakan
  seorang kanak-kanak autism. Di mana pada awal kemasukan, dia suka
  menghantukkan kepalanya sehingga mencederakan diri sendiri. Setelah
  saya mempelajari dan mengenalpasti ciri-ciri seorang autisme, saya 
  dapat mengatasi masalah Muhib ini. Dan sekarang Muhib sudah pandai
  melapikkan tangannya apabila dia menghantukkan kepalanya ke lantai.   
  Manakala masalah yang saya hadapi sepanjang mengajar di sini
  antaranya ialah pada tahun lepas, seorang murid yang terlalu hiperaktif
  telah memasuki prasekolah pendidikan khas ini dan suatu ketika dia
  telah menendang perut saya sehingga saya mengalami keguguran. Ia
  disebabkan sifat dia yang terlampau hiperaktif sehingga dia dinasihat
  mengambil ubat bagi mengurangkan keaktifannya.
Saya               : Takziah cikgu. Cikgu, apakah pertandingan yang biasa disertai oleh
murid-murid pendidikan khas?
Cikgu Aini     : Terima Kasih. Pertandingan yang biasa disertai oleh murid-murid saya 
                          ini ialah pertandingan sukaneka, merwarna, dan lain-lain lagi.
Saya               : Bagaimanakah cara atau inisiatif cikgu ambil untuk mendalami lagi
  perasaan murid-murid pendidikan khas ini?
Cikgu Aini     : Caranya ialah pertama sekali, bawa murid tersebut berjumpa dengan
  doktor untuk mengenal pasti penyakit yang dihidapinya dan jikalau teruk
  dan memerlukan murid tersebut mengambil ubat, murid tersebut perlu
  mengambil ubat tersebut. Tetapi sebelum itu guru hendaklah berbincang
  dengan ibu bapa murid tersebut. Misalnya, pada tahun lepas, seorang
  murid saya disahkan oleh doctor mengidap penyakit hiperaktif yang
  melampau sehingga dia perlu mengambil ubat bagi menenangkan 
  penyakitnya itu. Kedua, guru juga perlu menyertai aktiviti berkaitan anak-
  anak Pendidikan Khas ini dengan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau
  mana-mana pihak yang menganjurnya. Tambahan lagi, guru boleh juga
  meminta cadangan-cadangan daripada ibu bapa kerana ini untuk 
  kebaikan mereka dan anak-anak mereka juga. Justeru, mungkin
  cadangan yang diberikan oleh ibu bapa mungkin boleh digunapakai.
Saya               : Apakah kategori murid-murid pendidikan khas yang berada di prasekolah
  cikgu?
Cikgu Aini     : Kategori murid Pendidikan Khas yang ada di prasekolah ini ialah autism,
  slow learner dan sindrom down. Hal demikian disahkan oleh doktor.
  Tetapi jika kite sebagai guru melihatnya akan menampakkan mereka ini
  ada yang bersifat ‘multiple’, iaitu mempunyai penyakit campur. 
  Contohnya, adik Muhammad Risyafiq Daniel bin Mohd Risman adalah
  seorang yang slow learner tetapi jikalau kita melihatnya, ada juga sifat
  hiperaktif. Kalau kamu mahu tahu dengan lebih lanjut lihat dalam buku
  Intergrasi Prasekolah Pendidikan Khas SK Kubang Kerian 1 tahun 2011.
Saya               : Bagaimanakah cara kemasukan murid-murid prasekolah ini?
Cikgu Aini     : Seperti prasekolah biasa juga, cara kemasukannya sama seperti mengisi
  borang pendaftaran (Lihat Lampiran D) cuma murid-murid ini perlu
  mendapat pengesahan doktor iaitu dalam bentuk surat menyurat (Lihat
  Lampiran D) apabila memasuki prasekolah ini dan pendapatan ibu bapa
  ialah RM1500 ke bawah. Dan perlu  
Saya               : Pada pendapat cikgu, apakah ciri-ciri yang terdapat pada seorang guru
  Pendidikan Khas?
Cikgu Aini     : Pendapat saya ialah untuk menjadi seorang guru Pendidikan Khas ialah
  beliau mestilah mempunyai sifat sabar dalam melayani karenah kanak-
  kanak pendidikan khas ini. Selain itu, seorang guru itu perlu mempunyai
  sifat penyayang kerana kanak-kanak istimewa ini memerlukan kasih
  sayang dan untuk mengetahui lebih lanjut lagi ciri-ciri guru Pendidikan 
  Khas, lihat dalam buku karya R.A. Radziah 
Saya               : Baiklah cikgu, sebelum kami meminta diri, bolehkah cikgu memberi
  sedikit biodata cikgu serta pengalaman cikgu?
Cikgu Aini     : Boleh. Tetapi jika mahu biodata saya, sila lihat dalam buku Pengurusan
  Pra Intergrasi Prasekolah Pendidikan Khas SK Kubang Kerian 1 tahun
  2011. Dan pengalaman yang saya ada ialah saya mempunyai sepupu
  yang sindrom down. Dari situ timbul minat saya mendalami lagi
  Pendidikan Khas ini. Di universiti pula, saya banyak menyertai program-
  program pendidikan yang dianjurkan oleh pihak universiti. Misalnya,
  suatu ketika dahulu, saya pergi ke salah sebuah sekolah Pendidikan
  Khas di Kuala Lumpur. Tujuan saya pergi ke sekolah itu ialah untuk
  membuat kajian tentang murid-murid slow learner. Di mana seorang 
  murid di sekolah tersebut apabila gurunya memberi satu tugasan dia 
  mengambil 30 minit untuk menyelesaikan tugasannya itu.
Saya               : Terima kasih cikgu.
Cikgu Aini     : Sama-sama. Lain kali jemput datang lagi!
Saya               : Insya’Allah cikgu.


                        3.2.2 Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan
Dalam tugasan ini, saya juga perlu mengenalpasti  ciri-ciri kanak-kanak berkeperluan khas dan juga memerhatikan cara-cara bagaimana guru prasekolah tersebut melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran kepada kanak-kanak prasekolah berkeperluan khas. Oleh itu, dalam hal demikian saya telah merekod video untuk mengenalpasti ciri-ciri kanak-kanak tersebut dan bagaimana pengajaran dan pembelajaran guru Prasekolah Berkeperluan Khas SK Kubang Kerian 1. (Lihat lampiran C)
Berdasarkan video tersebut, saya ingin membuat rumusan sedikit mengenai aktiviti yang dijalankan. Aktiviti yang dijalankan pada hari itu ialah mengenai Anggota Badan Saya. Di mana pada set induksi, guru atau Cikgu Nurul Aini menyanyi lagu mengenai Anggota Badan untuk menarik minat pelajarnya. Bagi saya ia sangat menarik. Walaupun begitu, mendidik kanak-kanak istimewa ini memerlukan pengorbanan yang besar kerana masa mengajar, Cikgu Aini banyak bersabar melayan karenah murid-muridnya. Kerana kebanyak mereka ini mempunyai daya penumpuan yang kurang terhadap sesuatu aktiviti yang dilaksanakan. Mereka ini banyak berkhayal terutamanya, Adik  Haida dan Adik Mirza semasa guru mengajar. Aktiviti seterusnya dilakukan pula melukis gambar anggota badan seperti mata, hidung, telinga dan lain-lain. Dalam aktiviti ini saya melihat Adik Mirza walaupun dalam beliau berkhayal, beliau cepat menangkap apa yang Cikgu Nurul Aini mengajarnya. Misalnya, beliau akan melukis apa yang guru memintanya lukis. Pada akhir pembelajaran, iaitu penutup, guru memasang lagu bentuk (shape). Di dalam aktiviti ini, murid-murid lain hanya duduk mendengar lagu tersebut. Tetapi Adik Mirza akan melakukan aktiviti mengikut apa yang video lagu tersebut buat. Misalnya, dalam video lagu ‘shape’ tersebut, aktiviti yang dijalankan ialah mencari bentuk bulat. Di sini, Adik Mirza akan mancari akan mencari alatan permainan yang berbentuk bulat. Dengan itu, apa yang saya perhatikan di sini, tidak semua murid akan lemah dalam sesuatu pelajaran yang mereka pelajari.

4.0  Rumusan
Terdapat banyak ciri-ciri yang boleh dikenalpasti dan keistimewaan yang ada pada setiap kategori kanak-kanak berkeperluan khas ini. Dapatan kajian menunjukkan guru-guru Pendidikan Khas memerlukan latihan yang mendalam untuk bertindak professional bagi menangani  permasalah kanak-kanak istimewa ini dan juga penerimaan ibu bapa mereka terhadap anak-anak seperti ini. Selain itu, saya juga ingin memberi sedikit sebanyak cadangan untuk membina atau membantu guru-guru agar terus mencapai kegemilangan. Pertama, guru perlu menyediakan lebih banyak program-program berbentuk motivasi seperti program inklusif di mana program ini banyak menyedarkan kanak-kanak normal tentang kanak-kanak berkeperluan khas juga adalah sebahagian daripada masyarakat juga. Di samping itu, ia memberi peluang kepada kanak-kanak khas untuk menyesuaikan diri dengan rakan sebaya yang normal dan menyertai aktiviti yang disediakan untuk mereka. Mereka juga manusia biasa yang mempunyai keinginan untuk bermain. Oleh itu, guru juga perlu berfikir permainan yang sesuai bagi setiap kategori kanak-kanak istimewa ini. Misalnya, terapi pasir, terapi air dan sebagainya sesuai digunakan untuk kanak-kanak istimewa ini.


5.0  Refleksi

Bismillahirrahmanirrahim...
Segala puji bagi Allah atas segala nikmat dan pemberianNya. Semoga selawat dan salam bagi Rasulullah, serta para keluarga, sahabat dan pengikut-pengikut baginda yang meneruskan ajaran Islam kepada seluruh umat manusia. Syukur ke hadrat ilahi dapat saya menyelesaikan tugasan kerja kursus projek major saya iaitu Kanak-Kanak Prasekolah Berkeperluan Khas (PRA 3109) saya pada masa yang telah ditetapkan, iaitu lebih kurang 8 minggu.
Selain itu, di sini saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pensyarah-pensyarah, rakan-rakan dan tokoh-tokoh yang terlibat dalam membantu saya sepanjang menjalankan tugasan projek ini. Tugasan projek ini telah diberikan kepada saya pada 06 Februari 2011  dan telah diberi taklimat oleh En. Wan Ahmad Jazlan bin Wan Abd. Rahman. Tugasan projek ini dikehendaki dilaksanakan sebelum atau semasa menjalankan Praktikum Fasa 1. Sebelum menjalankan tugasan ini, saya telah berkolaborasi dengan En. Wan Ahmad Jazlan sebelum membuat tugasan ini kerana ada sedikit ketidakfahaman saya mengenai skop tugasan yang perlu dibuat dan bagaimana membuatnya. Misalnya, membuat soalan nombor satu, di mana ia dikehendaki membina pengurusan grafik kategori kanak-kanak berkeperluan khas. Di mana saya tidak faham adakah kategori kanak-kanak berkeperluan khas terbahagi kepada tiga atau empat kategori? Dan adakah sekarang disleksia telah berpecah daripada golongan kanak-kanak berkeperluan bermasalah pembelajaran?  Setelah mendapat penerangan daripada En. Wan Ahmad Jazlan, kategori kanak-kanak berkeperluan khas memang terbahagi kepada empat dan disleksia sekarang telah berpecah daripada golongan kanak-kanak berkeperluan khas bermasalah pembelajaran. Sebelum menyelesaikan tugasan ini, saya dan rakan-rakan saya juga perlu memilih sekolah-sekolah di sekitar Kelantan ini yang mempunyai prasekolah berkeperluan khas. Di mana saya mendapat tahu sekolah di sekitar Kelantan hanya terdapat 7 buah sekolah sahaja yang mempunyai prasekolah berkeperluan khas. Oleh itu, saya dan rakan saya berbincang pergi secara berkumpulan ke setiap sekolah yang dipilih. Di mana empat orang setiap kumpulan. Setelah dibahagi-bahagikan kumpulan saya ialah saya sendiri; Nurulk Fatihah binti Hashim @ Abdullah, Nik Fatin Amalina binti Ismail, Ainur Nazura binti Mohd Joni dan Mohammad Izam Iznan bin Jusoh serta kami telah memilih Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 1.
 Tugasan projek bagi subjek kali ini tidak memerlukan saya mengajar. Di mana saya dikehendaki memilih sebuah sekolah yang mempunyai prasekolah berkeperluan khas dan mengenalpasti ciri-ciri setiap murid prasekolah tersebut dan perhatikan juga cara-cara pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru prasekolah tersebut. Sewaktu menjalani program ini saya menghadapi sedikit masalah kerana kamera digital saya tertinggal di rumah tetapi saya bernasib baik kerana kawan saya mempunyai handphone yang berteknologi tinggi iaitu boleh merakam video tingkah laku kanak-kanak istimewa tersebut.
Selain itu, saya juga keliru mahu membuat kaedah ape yang diperlukan semasa kajian tugasan ini dilaksanakan. Oleh itu, saya meminta pendapat rakan-rakan saya dan kami bersama menyelesaikannya. Misalnya, membuat kaedah pemerhatian, membuat boring senarai semak, temubual dan rakaman suara dan laian-lain. Selain masalah ini, kengkangan masa juga mencemburui saya apabila tugasan projek ini bertembung dengan tugasan projek major saya satu lagi, iaitu Pengurusan Prasekolah (PRA3110) dan juga Praktikum Fasa 1. Di mana, kedua-duanya perlu dihantar pada tarikh yang sama setelah mendapat budi bicara pensyarah subjek-subjek tersebut, iaitu pada 31 Mac 2011.
Sepanjang melaksanakan tugasan ini saya memperolehi banyak faedah dan manfaat di mana saya dapat mempelajari bagaimana menafsir tingkah laku murid dengan kaedah penilain seperti rekod anekdot, rekod berterusan, dan lain-lain lagi. Di samping itu juga saya dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri saya sepanjang membuat kajian tugasan ini. Dari segi sumber maklumat pula, saya dapat merujuk di pelbagai sumber. Misalnya, rujukan di Perpustakaan di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, Perpustakaan Negeri Terengganu, buku-buku, rujukan para pensyarah dan sebagainya. Sewaktu menjalankan kajian mengenai tugasan projek ini, saya berasa sangat seronok kerana dapat pengalaman menafsir diri murid-murid ini sebelum kita menafsir murid-murid kita sendiri kelak. Selain itu, saya dapat mengenalpasti ciri-ciri yang kita lihat secara realiti seorang kanak-kanak berkeperluan khas. Di mana selama ini saya hanya didedahkan dengan teori sahaja mengenai kanak-kanak berkeperluan khas ini.
Sepanjang melaksanakan tugasan ini juga, saya amat bergembira menemui kanak-kanak istimewa ini; iaitu adik Hajar, adik Mirza, adik Muhib, adik Anam, adik Haida dan seorang lagi tidak datang, iaitu adik Syafiq. Walaupun mereka ini kanak-kanak istimewa mereka mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Saya juga berasa sedih melihat mereka ini. Bagaimanakah kehidupan mereka di masa hadapan jika kita tidak memberi pendidikan mereka? Dan bagaimakah jika ibu bapa mereka ini tidak sedar akan pentingnya menghantar kanak-kanak seperti ini ke sekolah?
 Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan kerana memberi kerjasama yang baik dan para pensyarah yang terlibat, terutamanya En. Wan Ahmad Jazlan yang banyak memberi input, tips-tips yang berguna supaya tugasan saya ini tidak terpesong daripada sebetulnya serta sesiapa yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung serta saya juga berharap tugasan yang saya buat ini bertepatan dengan kehendak soalan yang diberikan.

Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

pEmbErItAhUAn !!!

Blog ini diwujudkan untuk mencerita segala kisah suka duka hidup NUYU dan ia tidak melibatkan sesiapa yang tidak berkenaan...
Segala info2 dan artikel2 yang dicopy paste dalam blog NUYU ini akan dinyatakan dari mana sumbernya diambil...
Akhir kata, diharapkan segala coretan kat blog NUYU ini akan memberi manfaat kepada sesiapa yang suka terjah blog ini...

SEKIAN=)

NaK mAkAN !!